Wednesday, December 28, 2011

Percutian Adik Beradik 11

Pada 26 Disember @ 4.00pm bertolak ke Port Dickson, untuk percutian kedua...

Menginap di Glory Beach Resort... tiada apa2 program..cuma berihat dan bersiar-siar..
Menyusur pantai.. dan berihat ditepian kolam... melihat gelagat anak-anak mandi di kolam...

Bertolak ke KL.. Allahamdulilah selamat sampai dengan selamat.

Percutian Adik Beradik I

Pada 25 Disember 2011 @10.00pagi bertolak ke Melaka untuk bercuti bersama-sama adik2 dan keluarga... Perjalanan ke lancar cuma.. masuk ke tol air keroh.. mengalami kesesakan hingga ke bandar Melaka.

Menginap di Resort di Pantai Puteri... pantai indah... angin bertiup kencang...

Tidak sempat untuk singgah untuk merasa belacan dan cencaluk Melaka...

Check in ke Banda Hilir... ke Taman Pahlawan dan menikmati keindah Melaka dengan menaiki Menara Taming Sari...


Berjalan-jalan dan menyusur sungai Melaka... melihat peninggalan sejarah melaka... serta melihat kemeriahan penarik beca membawa penumpang mengelilingi banda hilir.


Sunday, December 4, 2011

Keajaiban solat sunat rawatib iringi solat Fardhu

UMAT Islam diwajibkan mendirikan solat sebanyak lima kali sehari semalam. Selain solat wajib lima waktu, sebagai hamba Allah kita dituntut memperbanyakkan amalan solat sunat khususnya solat rawatib.
Solat rawatib adalah solat sunat sebelum atau selepas solat wajib. Kita diperintahkan mengamalkan solat rawatib atau tathawwu, iaitu solat sunat yang menyertai solat wajib dengan tujuan melengkapkan segala kekurangan yang mungkin terjadi semasa mendirikan solat fardu.
Selain itu, solat sunat itu tersingkap banyak keutamaan yang tidak terdapat pada ibadat yang lain. Kita dapat analoginya seumpama gam yang mampu menampal sesuatu benda yang bocor atau berlubang sehingga kembali menjadi sempurna dan cantik.
Abu Hurairah ada menyertakan sebuah hadis yang bermaksud, ‘Sesungguhnya pertama sekali yang akan dihitung dari amal perbuatan manusia pada Hari Kiamat kelak adalah solat.
Allah S.W.T akan berfirman kepada Malaikat-Nya, “Wahai Malaikat-Ku, periksalah solat hamba-Ku, sudahkah sempurna solatnya atau masih kurang? Apabila didapati sudah cukup sempurna, akan dicatat sempurna. Akan tetapi, apabila didapati kurang sempurna, Allah berfirman, ‘Periksa kembali, apakah hamba-Ku itu memiliki amalan solat sunat (tathawwu)? Apabila didapati bahawa dia memiliki amalan sunat tathawwu (solat sunat), Allah akan berfirman; ‘Cukupkan dan sempurnakan solat fardu hambu-Ku itu oleh solat sunatnya.’ Kemudian, amal perbuatan hamba itu dikira menurut cara seperti ini.’ (Hadis riwayat Abu Daud).
Jelas bahawa mendirikan solat sunat rawatib itu satu amalan sunat penting dan tidak seharusnya diremehkan. Ini tidak, kita hanya tekun melaksanakan solat fardu wajib lima waktu tetapi begitu liat mendirikan solat sunat.
Melaksanakan solat sunat itu digalakkan dilakukan di rumah berbanding di masjid. Menurut Imam An-Nawawi dianjurkan solat sunat di rumah supaya lebih tersembunyi daripada pandangan umum sekali gus dapat mengelakkan timbul rasa riak yang akan membatalkan kebaikan amalan itu.
Hal itu juga adalah untuk menimbulkan cahaya rahmat Allah ke atas ahli keluarga di dalam rumah. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Apabila salah seorang di antara kalian sentiasa mengerjakan solat fardu di masjid, hendaklah ia memberikan bahagian di rumahnya dari solatnya, supaya Allah melimpahkan pula kebaikan atas rumah itu.” (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim).
Demikian juga Rasulullah s.a.w berpesan, “Jadikanlah sebahagian solat kamu dapat dikerjakan di rumah dan jangan kamu menjadikannya seakan kubur sebagai tempat tidur belaka.’ (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim).
Justeru, melalui dua hadis itu, jelas amalan solat sunat begitu ditekankan Rasulullah s.a.w. Dalam kesibukan macam mana sekalipun, berusahalah melakukan sunnah Baginda itu.
Pentingnya solat sunat sehingga Rasulullah s.a.w ada meninggalkan wasiatnya; “Jangan engkau tinggalkan kedua-dua rakaat sunat subuh itu, meskipun engkau dikejar oleh tentera berkuda.’ (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi).
Namun, melihatkan keadaan dunia sekarang seakan manusia tidak pernah cukup waktu untuk mendirikan solat sunat yang hanya sekitar tiga hingga lima minit sahaja! Mengapakah perkara itu terjadi?
Ini kerana jiwa terlalu terpaut dengan tuntutan duniawi sehingga ukhrawi tidakdimantapkan. Satu lagi peringatan Rasulullah terhadap solat sunat khususnya solat sunat subuh.
Aisyah pernah mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; ‘Kedua-dua rakaat sunat subuh itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (Hadis direkodkan oleh Ahmad, Muslim, at-Tirmidzi dan An-Nasai).
Maksud pesanan Nabi s.a.w lebih baik daripada dunia dan segala isinya itu ialah keberkatan dan ganjaran pahalanya buat pengamal solat sunat subuh itu.
Inilah keajaiban solat sunat dan kita seharusnya merebut pahala dan berusaha menggamit cahaya kebaikan daripada-Nya. Pujuk dan rayu diri dengan meleburkan sikap malas kepada gerak hati yang terdorong untuk mendirikan amalan solat sunat itu.
Imam Ahmad dan Muslim ada meriwayatkan daripada Aisyah yang mengatakan, ‘Saya tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w begitu rajin dan cepatnya mengerjakan sesuatu kebaikan, sebagaimana rajin dan cepatnya Baginda melakukan duarakaat sunat sebelum subuh.’
Marilah sama-sama kita berikhtiar mengajak diri kita, anak-anak dan saudara agar mencintai solat sunat.

(petikan daripada Darul Umum online)

Kelebihan Puasa 9 dan 10 Muharram

Hadith-hadith tentang puasa hari ‘Asyura (10 Muharram)Ibn ‘Abbas meriwayatkan yang bermaksud: “Apabila Nabi SAW datang ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu Baginda bertanya: "Apakah ini?". Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa”. Lalu Baginda SAW bersabda: "Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu," maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa”. (Riwayat al-Bukhari)

A’isyah r.a berkata (maksudnya): “Rasulullah SAW telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari A’syura, dan apabila telah difardhukan puasa Ramadhan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari A’syura) maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa)”. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

Daripada ‘Aisyah r.a berkata yang bermaksud: “Orang-orang Quraish di zaman jahiliyah berpuasa pada hari ‘Asyura, dan Rasulullah SAW juga berpuasa pada hari A’syura. Maka apabila Baginda datang ke Madinah, Baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai berpuasa. Apabila difardhukan kewajipan puasa Ramadhan, ditinggalkan puasa pada hari ‘Asyura lalu Baginda bersabda: "Sesiapa yang mahu, maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh tinggalkannya". (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Inilah beberapa contoh hadith sahih yang menyebut tentang puasa pada hari ‘Asyura. Daripada hadith-hadith ini dapat difahami bahawa puasa pada hari ‘Asyura merupakan suatu perkara yang wajib sebelum daripada difardhukan puasa Ramadhan. Apabila difardhukan puasa Ramadhan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur. Namun ianya tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut. Inilah antara kesimpulan yang disebut oleh al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani (wafat 852H) dan al-Imam Muslim (wafat 676H) ketika menghuraikan hadith-hadith tentang puasa ‘Asyura ini.(Rujuk Fath al-Bari, Kitab al-Saum, Bab Siyam Yaum ‘Asyura, 4/309, dan al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Bab Saum Yaum ‘Asyura’ 4/245).

Fadhilat Puasa Hari ‘AsyuraSesungguhnya kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW bagi sesiapa yang mengamalkan puasa sunat ini amatlah besar. Antaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh Qatadah (maksudnya): “Bahawasanya Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari ‘Asyura, lalu Baginda SAW menjawab: "Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu". (Hadis sahih riwayat Imam al-Tirmizi).

Dalam riwayat yang lain pula disebutkan bagaimana Rasulullah SAW begitu mengambil berat dan memberi keutamaan kepada amalan puasa pada hari ‘Asyura ini. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Ibn Abbas bahawa beliau pernah ditanya tentang puasa pada hari ‘Asyura ini, lalu beliau berkata: “Aku tidak pernah ketahui bahawa Rasulullah SAW berpuasa sehari kerana mencari kelebihannya di atas hari-hari yang lain kecuali pada hari ini, dan Baginda tidak berpuasa sebulan kerana mencari kelebihan ke atas bulan-bulan yang lain kecuali bulan ini, iaitu: Ramadhan”. (Riwayat Imam Muslim)

Puasa Tasu’a (hari ke-9 Muharram)Selain daripada berpuasa pada hari ‘Asyura ini, kita juga digalakkan untuk berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari ke-9 Muharram. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya ialah:
Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: "Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9". Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu.” (Riwayat Imam Muslim)

Daripada Ibn Abbas r.a berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): "Sekiranya aku masih hidup hingga tahun hadapan, nescaya aku pasti akan berpuasa pada hari ke-9". (Riwayat Muslim).

Imam al-Nawawi (wafat 676H) dalam menghuraikan hadis-hadis ini telah menukilkan pendapat Imam al-Syafie dan ulamak di dalam mazhabnya, Imam Ahmad, Ishak dan yang lain-lain bahawa mereka semua ini berpendapat bahawa disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan hari ke-10, kerana Nabi SAW berpuasa pada hari ke-10 (‘Asyura) dan berniat untuk berpuasa pada hari ke-9 (tahun berikutnya). Imam al-Nawawi menyambung lagi: “Sebahagian ulamak berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dengan hari ke-10 ialah supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10”. (Rujuk: al-Minhaj syarh Sahih Muslim, Bab al-Siyam, ( Beirut : Dar al-Ma’rifah , cet.7, 2000), jil 4, hal. 254).

Justeru, marilah kita merebut peluang pada kesempatan bulan yang mulia ini untuk menambahkan amalan kita dengan berpuasa sunat. Renungilah saranan yang diberikan oleh Rasulullah SAW seperti mana yang diriwayatkan oleh Jundub bin Sufian bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): "Sesungguhnya solat yang paling utama selepas solat fardhu ialah solat pada waktu tengah malam dan puasa yang paling utama selepas puasa Ramadhan ialah puasa di bulan Allah yang kamu panggilnya Muharram".(Hadis riwayat Imam al-Nasa’ie dengan sanad yang sahih).

Berkat Membaca Bismillah

Ada seorang perempuan tua yang taat beragama, tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu berbuat kebaikan.Perempuan itu sentiasa membaca Bismillah setiap kali hendak bercakap dan setiap kali dia hendak memulakan sesuatu sentiasa didahului dengan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya.Suaminya berkata sambil mengejak, "Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah."

Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah S.W.T. supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu hari suaminya berkata : "Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu."Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, "Simpan duit ini." Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi di belakang rumahnya.

Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, "Berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan."Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan duit itu dia membuka dengan membaca, "Bismillahirrahmanirrahiim." Ketika itu Allah S.W.T. menghantar malaikat Jibrail A.S. untuk mengembalikan beg duit dan menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali.

Alangkah terperanjat suaminya, dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya, ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah, dan dia juga membaca Bismillah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja.[]

Kelebihan Berpuasa 10 Muharram dan Peristiwa Yang Terjadi

Dari Ibnu Abbas r.a berkata Rasulullah S.A.W bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa pada hari Aasyura (10 Muharram) maka Allah S.W.T akan memberi kepadanya pahala 10,000 malaikat dan sesiapa yang berpuasa pada hari Aasyura (10 Muharram) maka akan diberi pahala 10,000 orang berhaji dan berumrah, dan 10,000 pahala orang mati syahid, dan barang siapa yang mengusap kepala anak-anak yatim pada hari tersebut maka Allah S.W.T akan menaikkan dengan setiap rambut satu darjat. Dan sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada orang mukmin pada hari Aasyura, maka seolah-olah dia memberi makan pada seluruh ummat Rasulullah S.A.W yang berbuka puasa dan mengenyangkan perut mereka".

Lalu para sahabat bertanya Rasulullah S.A.W: "Ya Rasulullah S.A.W, adakah Allah telah melebihkan hari Aasyura daripada hari-hari lain?". Maka berkata Rasulullah S.A.W: "Ya, memang benar, Allah Taala menjadikan langit dan bumi pada hari Aasyura, menjadikan laut pada hari Aasyura, menjadikan bukit-bukit pada hari Aasyura, menjadikan Nabi Adam dan juga Hawa pada hari Aasyura, lahirnya Nabi Ibrahim juga pada hari Aasyura, dan Allah S.W.T menyelamatkan Nabi Ibrahim dari api juga pada hari Aasyura, Allah S.W.T menenggelamkan Fir'aun pada hari Aasyura, menyembuhkan penyakit Nabi Ayyub a.s pada hari Aasyura, Allah S.W.T menerima taubat Nabi Adam pada hari Aasyura, Allah S.W.T mengampunkan dosa Nabi Daud pada hari Aasyura, Allah S.W.T mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman juga pada hari Aasyura, dan akan terjadi hari kiamat itu juga pada hari Aasyura!".[]