Sunday, July 31, 2011

Selamat Berpuasa 1432H


AMALAN-AMALAN DI BULAN RAMADHAN



Kaum muslimin yang dirahmati Allah,


Marilah kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan, dengan melakukan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.



Bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana telah melanjutkan usia kita dan memberikan kita peluang untuk bertemu lagi dengan bulan Ramadhan pada tahun ini sehingga kita dapat menunaikan ibadat puasa.


Sesungguhnya ibadat puasa itu mempunyai banyak hikmat dan kelebihan-kelebihan, baik dari segi rohani mahupun jasmani atau pun kemasyarakatan. Oleh yang demikian, melihat kepada kelebihan yang ada di bulan tersebut, maka sewajarnyalah kita mengambil kesempatan ini dengan memperbanyakkan amalan-amalan soleh serta meningkatkan lagi ibadat kita kepada Allah Subhanahu Wataala ke tahap yang lebih tinggi agar kita memperolehi ganjaran dan kelebihan bulan tersebut.



Dalam kita menghayati bulan Ramadhan ini, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah contoh terbaik untuk diikuti di mana Baginda memberikan kita bimbingan dan panduan dalam apa jua perkara untuk kebaikan di bulan Ramadhan contohnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pada bulan Ramadhan memperbanyakkan membaca ayat suci Al-Quran, kerana ganjaran bagi orang yang membaca Al-Quran itu banyak sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadith Baginda antaranya ialah:-
Maksudnya :


Dari Abi Hurairah Radiallahu-Anhu berkata :


Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :


tiada berkumpul sesuatu kaum di suatu rumah dari rumah-rumah Allah, mereka membaca kitab Allah dan mentadaruskannya di antara mereka, melainkan turunlah kepada mereka ketenangan, dinaungilah mereka oleh rahmatnya, dilindungilah mereka oleh malaikat dan Allah menyebut mereka bersama-sama dengan orang yang ada di sisinya. (Riwayat Al-Imam Muslim).



Dalam kita membaca ayat-ayat suci Al-Quran, perlulah juga kita ketahui bahawa ketika membaca Al-Quran itu perlulah dengan adab dan tatacara yang telah ditentukan, iaitu membacanya dengan penuh penghayatan, dengan bertajuid dan sebutan yang betul dan adalah lebih elok juga dibaca tafsir ayat-ayat tersebut, agar kita memahami maksud apa yang kita baca dan seterusnya kita akan dapat menghayati dan mengamalkannya.



Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,Selain daripada galakan untuk memperbanyakkan membaca kitab suci Al-Quran di bulan Ramadhan, kita juga digalakkan untuk mengerjakan sembahyang sunat tarawih. Kerana sembanyang sunat tarawih itu hanya dapat kita kerjakan di bulan Ramadhan dan tidak pada bulan-bulan lain.




Sesungguhnya Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, pada setiap malan bulan Ramadhan mengerjakan sembahyang sunat tarawih. Itulah juga kelaziman yang dilakukan oleh orang kita Brunei pada sepanjang bulan Ramadhan. Mudah-mudahan amalan itu berterusan dan akan menerima ganjaran yang dijanjikan sebagaimana hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :-



Maksudnya : Dari Abi Hurairah Radiallahu-Anhu ia berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa berqiam di bulan Ramadhan (mengerjakan solat qiam iaitu solat tarawih) kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan pahala dan ampunan serta keredhaannya, nescaya diampunilah dosanya yang telah lalu. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).



Di samping amalan-amalan tersebut, amalan bersedekah juga adalah suatu perbuatan yang sangat mulia samada ia dilakukan di bulan lain apatah lagi jika ianya dikerjakan di bulan Ramadhan, kerana perbuatan tersebut menunjukkan rasa simpati kita terhadap mereka yang memerlukan khususnya orang-orang miskin dan anak-anak yatim yang sangat-sangat memerlukan bantuan kita. Dan itulah juga tanda syukur kita kepada Allah Subhanahu Wataala di atas limpah rezeki yang dianugerahkan kepada kita.




Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :-
Maksudnya : Dari Ubaidillah bin Abdillah bin ‘Utbah sesungguhnya Ibnu Abbas Radiallahu-Anhuma berkata : Adalah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam orang yang paling pemurah, dan baginda paling pemurah di bulan Ramadhan. (Riwayat Al-Imam Bukhari).



Jika kita amat-amati perbuatan bersedekah itu, ia mempunyai hikmat yang besar yang berperanan merapatkan hubungan silaturrahim dan boleh menghindarkan kita daripada perasaan sombong. Bersedekah juga boleh menimbulkan rasa ingin membantu saudara kita sesama Islam yang memerlukan pertolongan.




Perlu kita sedari bahawa dengan hanya memberikan makanan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa biar pun hanya sekadar makanan yang ringan, itu pun sudah merupakan sedekah dan inilah satu cara terbaik untuk kita lakukan pada bulan Ramadhan.


Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :-


Maksudnya : Dari Zaid bin Khalid Al-Juhani ia berkata, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa memberikan makan berbuka kepada seseorang yang berpuasa, nescaya dia memperolehi pahala sebagaimana yang diperolehi oleh orang yang berpuasa itu dengan tidak kurang sedikit pun. (Riwayat Al-Imam At-Tarmizi).



Muslimin yang dirahmati Allah,Sebagaimana yang kita maklum, Ramadhan adalah bulan rahmat, maka rebutlah peluang ini dengan memperbanyakkan amal ibadat dan amal kebajikan. Kita berdoa semoga kita beroleh ganjaran pahala dan merasakan betapa nikmatnya berpuasa itu.



Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Baqarah, ayat 187 :- Tafsirnya :Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).